Thursday 5 July 2012

KATA NAMA


Golongan Kata Nama
            Golongan kata nama merangkumi sejumlah perkataan yang boleh menjadi unsur inti kepada binaan frasa nama dan lazimnya kata ini menamakan orang, tempat atau benda. Golongan kata nama ini boleh pula dipecahkan kepada subgolongan berdasarkan ciri semantik perkataannya iaitu seperti berikut:

Kata Nama Khas
            Kata nama khas ialah kata nama yang merujuk nama sesuatu benda yang khusus dan ejaannya berpangkalkan huruf besar. Kata nama khas terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup pula terbahagi kepada dua lagi, iaitu kata nama khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan manusia. Pembahagian ini diterangkan melalui rajah berikut:
 


( 1 ) Kata Nama Khas Hidup

            ( a ) manusia
Nina
Jamil
Azman
Halim
J. Sham
Tun Abdul Razak
Tun Dr. Mahathir
A. Ramli
Hani


            ( b ) bukan manusia
Tumpuk
Ananas Comosus ( nanas)
Sang Kancil
Si Belang
Vanda Diana ( orkid )
Sang Buaya
Comel
Lassie
Si Buntal

                       


( 2 ) Kata Nama Khas Tak Hidup

Kuala Lumpur
Bukit Kepong
Pasir Mas
Daya Bumi
Ahli Mangku Negara
Planet Bumi
Gunung Kinabalu
Ipoh


Kata Nama Am
        Kata nama am ialah perkataan yang merujuk kepada benda – benda atau perkara – perkara yang umum sifatnya. Kata nama am dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu kata nama am abstrak dan kata nama am konkrit.
                 ( i )    Kata nama am abstrak
Kata nama am abstrak ialah jenis kata nama yang membawa konsep mujarad atau bukan kebendaan. Contohnya;


mimpi
idaman
kedamaian
penyalahgunaan
roh
kemerdekaan
kehendak
perhimpunan

                ( ii )    Kata nama am konkrit
Kata nama am konkrit ialah jenis kata nama yang membawa konsep kebendaan. Contohnya;

tangan
kekasih
rumah
kereta
buku
jambatan
jam
majalah

Kata Ganti Nama
         Kata ganti nama dibahagikan kepada dua subgolongan kecil, iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata ganti nama diri dapat dipecahkan lagi kepada kata ganti nama diri tanya dan kata ganti nama diri orang. Kata ganti nama diri orang terdiri daripada kata ganti nama diri orang pertama, orang kedua dan orang ketiga.

( a ) Kata ganti nama tunjuk
            Kata ganti nama tunjuk ialah kata nama yang berfungsi menunjuk pada sesuatu perkara atau benda. Terdapat hanya dua kata ganti nama tunjuk, iaitu itu untuk menunjuk pada yang jauh dan ini untuk menunjuk kepada yang dekat.

( b ) Kata ganti nama diri
            Kata ganti nama diri ialah kata nama yang menjadi pengganti sesuatu benda, perkara atau manusia. Kata ganti nama diri terbahagi kepada dua kumpulan iaitu;
-       kata ganti nama diri tanya
-       kata ganti nama diri orang

Kata ganti nama diri tanya ialah jenis kata nama yang berfungsi menanyakan hal benda, perkara atau manusia. Terdapat tiga bentuk kata ganti nama diri tanya iaitu, siapa yang merujuk orang, apa yang merujuk benda atau perkara, dan mana yang merujuk benda dan orang.
            Kata ganti nama diri orang ialah jenis kata ganti nama yang merujuk manusia dan terdiri daripada tiga kategori,iaitu orang pertama, orang kedua dan orang ketiga. Contoh – contohnya adalah seperti berikut:

Kata ganti nama diri orang pertama
saya, aku, beta, patik, kami dan kita
Kata ganti nama diri orang kedua
saudara, kamu, awak, engkau dan anda
Kata ganti nama diri orang ketiga
ia, dia, beliau, mereka dan -nya

No comments:

Post a Comment