Thursday 5 July 2012

KATA TUGAS



Kata tugas ialah golongan perkataan selain kata nama, kata kerja, dan kata adjektif yang mendukung sesuatu tugas tertentu dalam binaan ayat, klausa dan frasa. Kehadiran kata tugas dalam ayat tidak berfungsi sebagai unsur inti dalam sebarang frasa utama, sebaliknya mendukung sesuatu tugas sintaksis tertentu sama ada sebagai penghubung, penerang, penentu, penguat, pendepan, pembantu, penegas, penafi, pembenar, pemeri, atau tugas-tugas lain. 
Berdasarkan tugas-tugas yang disebutkan di atas, kata tugas dapat dijeniskan kepada 16 jenis berikut:
  1. kata hubung                                   9.  kata nafi
  2. kata seru                                      10.  kata pemeri
  3. kata tanya                                    11.  kata sendi nama
  4. kata perintah                                12.  kata pembenar
  5. kata pangkal ayat                         13.  kata arah
  6. kata bantu                                     14.  kata bilangan
  7. kata penguat                                 15.  kata penekan
  8. kata penegas                                16.  kata pembenda
                         
Kelompok Dasar Kata Tugas
Berdasarkan kriteria kedudukan dan fungsinya dalam binaan ayat, enam belas kata tugas yang disenaraikan di atas dapat dikelompokkan dalam empat kategori, iaitu:
  1. kata penyambung ayat
  2. kata praklausa
  3. kata pratirasa
  4. kata pascakata

Kata Penyambung Ayat
Kata penyambung ayat ialah kata hubung, iaitu sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih atau ayat majmuk. Selaras dengan jenis ayat majmuk, maka terdapat dua jenis kata hubung, iaitu:
  1. kata hubung gabungan
  2. kata hubung pancangan

Kata Hubung gabungan
Kata hubung gabungan ialah kata hubung yang menghubungkan ayat-ayat dalam ayat majmuk gabungan.
Contohnya:
                                  dan                lalu
                                  atau               malahan
                                  tetapi             sambil
                                  serta              kemudian

Kata Hubung Pancangan
Kata hubung pancangan ialah kata hubung yang menghubungkan klausa utama dalam ayat majmuk pancangan dengan klausa-klausa kecil lain. Dalam bahasa Melayu terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan. Oleh itu, terdapat tiga jenis kata hubung pancangan, iaitu:

(a) Kata hubung pancangan relatif
     Dalam bahasa Melayu terdapat hanya satu kata hubung pancangan relatif,
     Iaitu, yang.
(b) Kata hubung pancangan komplemen
     Jumlah kata hubung komplemen dalam bahasa Melayu juga kecil. Dua
     Contoh ialah bahawa dan untuk.
(c) Kata hubung pancangan keterangan
     Dalam bahasa Melayu jumlah kata hubung pancangan keterangan agak
     besar. Antaranya ialah:
           kerana                                agar                             meskipun
           sekiranya                            semoga                       supaya
           kalau                                   andai kata                   kendatipun
          hingga                                 jikalau                          semasa
          sementara                           setelah                        sewaktu
          ketika                                   tatkala                         untuk
         walaupun                              sungguhpun                apabila

Kata Praklausa
Kata praklausa ialah sejumlah perkataan yang terletak di hadapan klausa, iaitu yang terdiri daripada:
  1. kata seru                                           4. kata pembenar
  2. kata tanya                                         5. kata pangkal ayat
  3. kata perintah


Kata Seru
Kata seru ialah perkataan yang berfungsi melahirkan berbagai-bagai perasaan dan digunakan dalam ayat seruan.
Contohnya:
                 aduh               amboi                  aduhai
                 cis                   oh                        wahai

Kata Tanya
Kata tanya ialah perkataan yang digunakan unutk menanyakan sesuatu atau menyoalkan sesuatu.
Contohnya:
                 mengapa            bagaimana             kenapa
                 berapa                bila
Tiada kata ganti nama digunakan juga sebagai kata tanya, iaitu:
                 apa                     siapa                      mana

Sekiranya kata tanya dikedepankan, maka kehadirannya dalam bentuk tulisan hendaklah disertai partikel –kah.
Contohnya:
1 (a) Berapakah harga buku itu?
2 (a) Bagaimanakah keputusan peperiksaan tahun ini?

Kata Perintah
Kata perintah ialah perkataan yang bertujuan menimbulkan sesuatu tindak balas terhadap perintah, arahan, larangan, silaan, atau permintaan.
Contohnya:
Larangan
Silaan
Permintaan
jangan
usah
tak usah
sila
jemput
minta
tolong



Kata Pembenar
Kata pembenar ayat ialah perkataan yang mengesahkan sesuatu penyataan
Contohnya:
                 ya                    benar                   betul

Kata Pangkal Ayat
Kata pangkal ayat ialah perkataan yang hadir di bahagian hadapan ayat yang menjadi penanda kesinambungan ayat dalam wacana, dan disebut juga sebagai penanda wacana.
Contohnya:
                 hatta                              kalakian
                 maka                             sebermula
Kata Prafrasa
Kata prafrasa ialah sejumlah perkataan yang terletak di hadapan frasa, iaitu sama ada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama. Kata prafrasa ini mendukung tugas-tugas maksud yang terkandung dalam ayat seperti tugas membantu, menguatkan, menegaskan, menafikan, memerikan, menyendikan, menunjukkan arah, dan membilang. Berdasarkan tugas-tugas ini, terdapat lapan jenis kata prafrasa, iaitu:
  1. kata bantu                                             5. kata pemeri
  2. kata penguat                                         6. kata sendi nama
  3. kata penegas                                        7. kata arah
  4. kata nafi                                                8. kata bilangan

Kata Bantu
Kata Bantu ialah jenis kata tugas yang fungsinya membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama, iaitu menimbulkan makna-makna tambahan daripada aspek waktu atau ragam. Kata bantu terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam. Contohnya:
Kata Bantu Aspek
Kata Bantu Ragam
telah
baru
pernah
sedang
masih
akan
belum
sudah
hendak
mahu
harus
mesti
boleh
dapat

Kata Penguat
Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata adjektif. Terdapat tiga jenis kata penguat iaitu kata penguat hadapan, kata penguat belakang, dan kata penguat bebas. Contohnya:

Kata Penguat Hadapan
Kata penguat Belakang
Kata Penguat Bebas
terlalu
paling
agak
sekali
nian
benar
amat
sangat
sungguh

Kata Penegas

Kata penegas ialah sejumlah perkataan yang memberi penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Contohnya:
(a)  Yang menegaskan frasa predikat atau bahagian-bahagiannya
                                      -kah, -lah dan -tah

(b)  Yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat, iaitu frasa nama sebagai subjek atau frasa predikat atau bahagian-bahagiannya.
                           juga                          sahaja
                           jua                            lagi

Kata Nafi
Kata nafi ialah perkataan yang menjadi unsur nafi frasa-frasa predikat, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Terdapat dua kata nafi, masing-masing dengan tugasnya, iaitu:

(a)  bukan – yang menafikan frasa nama dan frasa sendi nama
(b)  tidak – yang menafikan frasa kerja dan frasa adjektif.

Walau bagaimanapun, bukan boleh juga hadir sebelum frasa kerja dan
frasa adjektif jika kedua-dua frasa tersebut mendukung maksud pertentangan maklumat.

Kata Pemeri

Kata pemeri ialah unsure yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Terdapat dua kata pemeri, iaitu:
(a)  ialah – yang hadir di hadapan predikat frasa nama
(b)  adalah – yang hadir di hadapan predikat frasa adjektif dan frasa sendi
                         nama.
Kata Sendi Nama

Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Dalam bahasa Melayu, jumlah kata sendi nama agak besar. Contohnya:
                  di                               tentang                         hingga
                  ke                              seperti                          antara
                  dari                            bagai                            untuk
                  daripada                    umpama                       dengan


Kata Arah
Kata arah ialah sejumlah perkataan yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya sesudah kata sendi nama untuk menunjukkan hala atau jurusan.
Contohnya:
                                       di atas meja
                                      di antara dua buah Bandar

Contoh kata arah lain:
                          bawah                   segi
                          belakang               selatan

Kata Bilangan
Kata bilangan ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang pada frasa nama. Terdapat lima jenis kata bilangan, iaitu:
(a)  yang menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya
                               tiga
                               sepuluh
(b)  yang menunjukkan bilangan tak tentu
                              segala
                              seluruh
(c)  yang membawa maksud himpunan
                              kelima-lima
                              berpuluh-puluh
(d)  yang membawa maksud pisahan
                               masing-masing
                               setiap
(e)  yang membawa maksud pecahan
                                               setengah
                                               separuh





Kata Pascakata
Dalam bahasa Melayu –nya hadir selepas perkataan dan membawa maksud tertentu, iaitu sebagai:
  1. kata penekan
  2. kata pembenda

Kata Penekan
Kata penekan ialah bentuk kata yang memberi penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. Contohnya:
                                      sesungguhnya
                                      nampaknya

Kata Pembenda
Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama menjadi kata nama. Contohnya:
                                      lajunya
                                      sakitnya



AKRONIM

Selain kata-kata seperti di atas, kata akronim juga tergolong ke dalam jenis kata tunggal. 

Akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan kombinasi huruf awal dan suku kata daripada satu rangkai kata, dan ditulis serta dilafazkan sebagai kata yang wajar.

Bernama – (Berita Nasional Malaysia)
Gapena – (Gabungan Penulis Nasional)
Mara – (Majlis Amanah Rakyat)
ubahsuai – (ubah sesuai)
kugiran – (kumpulan gitar rancak








1. PEMBENTUKAN AKRONIM

Kata akronim boleh dibentuk dengan tiga cara:

(i)            Akronim yang terbentuk daripada gabungan beberapa huruf awal rangkai kata yang disingkatkan, keseluruhannya ditulis dengan huruf besar, jika kata nama khas.
TH – (Tabung Haji)
ABIM – (Angkatan Belia Islam Malaysia)

(ii)          Akronim yang terbentuk daripada gabungan huruf awal dan / atau suku kata ditulis dengan huruf kecil keseluruhannya, jika bukan kata nama khas.

tabika – (taman bimbingan kanak-kanak)
ubahsuai – (ubah sesuai)
kugiran - (kumpulan gitar rancak)
purata - (pukul rata)


(iii)         Jika akronim yang terbentuk daripada gabungan huruf awal dan / atau suku kata itu menjadi kata nama khas, kata itu ditulis bermula dengan huruf besar.


Bernama – (Berita Nasional Malaysia)
Gapena – (Gabungan Penulis Nasional)
Mara – (Majlis Amanah Rakyat)
Pernas – (Perbadanan Nasional)
Intan – (Institut Tadbiran Awam Negara)
Petronas - (Petroleum Nasional)
Proton - (Perusahaan Automobil Nasional)

No comments:

Post a Comment