Thursday 5 July 2012

FIP ( First Importance Priorities – Keutamaan Mengikut Kepentingan )


Pengenalan

Sesetengah perkara, faktor, objektif, dan akibat mungkin lebih penting daripada yang lain. Dalam memikirkan sesuatu situasi setelah anda mendapa beberapa idea, anda mesti menentukan idea mana yang lebih penting supaya anda dapat berbuat sesuatu tentangnya. Dalam konsep ini, pemilihan keputusan yang tepat mestilah dibuat sebaik mungkin kerana keputusan yang dipilih menentukan tindakan kita yang seterusnya. Sekiranya keputusan yang kita buat salah, maka ini akan mempengaruhi tindakan kita.

Sebagai contoh, kita perlu menyenaraikan benda-benda sebagai A, B, C dan D. Perkara A diletakkan sebagai perkara yang paling penting untuk dibawa. Perkara B diletakkan sebagai perkara yang kurang penting. Perkara C juga diletakkan bagi perkara yang tidak penting dan perkara D untuk yang tiada kepentingan terhadap akitiviti yang akan kita lakukan.

Soalan

Anda ditugaskan menyelamatkan 3 orang pelajar yang sesat di dalam hutan belantara. Tugas menyelamat perlu dilakukan dalam masa 2 jam sahaja. Anda juga hanya dibenarkan untuk membawa 2 peralatan sahaja daripada 6 iaitu lampu suluh, mancis, sebatang buluh, segulung benang, sebilah pisau dan sehelai kain sarung. Gunakan FIP ( First Importance Priorities ) untuk memilih 2 daripada 6 peralatan tersebut dengan memberi alasan yang logik.


            Dalam memilih peralatan yang sesuai untuk dibawa semasa menyelamatkan 3 orang pelajar yang sesat di hutan belantara, saya akan menggunakan kaedah FIP ( First Importance Priorities ) untuk menentukan peralatan yang benar-benar penting yang perlu dibawa. Setelah meneliti keadaan dan juga masa yang diberikan untuk menyelamatkan 3 orang pelajar tersebut, saya telah memilih untuk membawa sebilah pisau dan juga sehelai kain sarung. Mengikut kaedah FIP, saya mendapati peralatan-peralatan ini perlu diberikan keutamaan.

Alasan bagi peralatan yang saya nyatakan seperti di atas akan diterangkan satu persatu tentang kepentingannya semasa menyelamatkan 3 orang pelajar tersebut. Saya memilih untuk membawa sebilah pisau kerana di dalam hutan belantara banyak ancaman bahaya yang boleh terjadi seperti serangan binatang buas ataupun semak samun yang ada di dalam hutan. Jadi, pisau ini dapat digunakan untuk mempertahankan diri dan juga untuk menebas semak samun yang terdapat dalam hutan belantara. Selain itu, pisau ini dapat digunakan untuk memotong akar-akar pokok yang mengandungi air minuman sekiranya tiada sumber air yang ditemui di dalam hutan. Selain itu, pisau tersebut dapat digunakan untuk memotong kayu-kayu kecil agar dapat dijadikan senjata sebagai langkah berjaga-jaga.

Manakala alasan membawa sehelai kain sarung adalah untuk dijadikan sebagai penanda agar tidak tersesat di dalam hutan. Kain tersebut dapat dicarikkan menjadi cebisan kecil untuk diikat pada pokok sebagai tanda tempat yang dilalui sebelum itu. Selain itu, kain itu dapat dijadikan sebagai tali pengikat sekiranya pelajar yang ditemui mengalami pendarahan ataupun kecederaan. Kain itu boleh dibalut pada pelajar tersebut untuk menghentikan pendarahan tersebut. Oleh sebab itu, saya memilih untuk membawa kain sarung sebagai satu persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Sebagai kesimpulannya, peralatan yang saya pilih adalah berdasarkan kepentingan yang paling utama untuk menyelamatkan 3 orang pelajar tersebut. Berdasarkan alasan yang saya kemukakan adalah berlandaskan kelogikan akal dan rasional terhadap situasi yang bakal dihadapi dalam tugasan ini. Kesemua peralatan yang dinyatakan di atas dapat membantu proses menyelamat dengan lebih berkesan dan selamat.

No comments:

Post a Comment