Monday 25 June 2012

AKIDAH ISLAMIYYAH




PENGERTIAN AQIDAH

                Aqidah berasal daripada perkataan Arab (Aqada) yang bermaksud ikatan atau simpulan. Biasanya ikatan atau simpulan berlaku pada benda yang dapat dirasai seperti tali. Tetapi perkataan ini juga digunakan pada suatu yang ma’nawi. Dari maksud lahiriah, perkataan aqidah bermaksud ikatan atau simpulan ma’nawi yang terkhusus di dalam kepercayaan. Aqidah boleh difahami sebagai kepercayaan yang terikat kuat dan tersimpul erat dalam hati terhadap sesuatu perkara yang benar dan hak sehingga tidak dapat mungkin tercerai atau terurai.

            Fahaman praktikalnya ialah  aqidah merupakan perjanjian keimanan yang kuat di antara manusia dengan Penciptanya. Aqidah Islamiyyah sahajalah yang benar dan yang betul, manakala yang lainnya adalah palsu dan batil. Konsep aqidah yang sebenarnya seperti yang dijelaskan inilah yang diistilahkan Islam sebagai Iman.


UNSUR-UNSUR PEMBENTUKAN AQIDAH

            Sarjana Islam berpendapat bahawa unsur-unsur pembentukan aqidah terdiri daripada :

1.      Unsur aqal atau pemikiran.
2.      Unsur iradah atau pemilihan.
3.      Unsur wujdan atau perasaan

             Ketiga-tiga unsur ini saling bertalian dan kuat. Kesempurnaan aqidah adalah daripada keutuhan dan keteguhan simpulan dalam jiwa. Keutuhan dan keteguhannya pula tidak wujud melainkan ia terbentuk dari jalinan yang erat antara ketiga-tiga aspek penting ini. Yang juga merupakan tiga daya kekuatan dalam diri manusia. Melalui proses ketiga-tiga unsur tadi terjalin dan searah jalan tanpa pertentangan; iaitu pembuktian dan kelojikan aqal; kerelaan hati serta kehangatan perasaan dapat melahirkan aqidah yang sempurna yang membentuk kesempurnaan peribadi atau syakhsiyyahnya dan menjadi kompas pengarah atau pembentukan corak dan warna hidupnya sama ada dalam lingkungan individu, mahupun dalam lingkungan keluarga, atau pun dalam lingkungan masyarakat yang lebih besar.

             Hakikatnya ciri-ciri aqidah tidak memadai hanya berada di atas permukaan aqal atau intelek, demikian juga tidak cukup berada di paras penerimaan dan pengakuan sahaja. Tetapi perlu mengisi dan menyerapi setiap ruang diri dan jiwanya sehingga sebati dengan perasaan dan sentiment yang sihat.


AQIDAH PEMBENTUK PERIBADI

             Aqidah Islamiyyah dapat membentuk nilai akhlak dan peribadi yang akan mencorakkan amalan dan perbuatan muslim. Sebagaimana acuan dapat membentuk dan mencorakkan kandungannya, maka demikianlah halnya dengan akhlak . Ia dapat membentuk individu menepati hakikat dan tabiat keinsanan yang tulen seperti kehendak Allah. Akhlak dapat membentuk sifat-sifat naluri Muslim, aqal fikirannya, iradahnya, dan perasaannya.

            Aqidah Islam adalah bersumberkan ketuhanan atau merupakan aqidah Rabbaniyyah yang tetap, sempurna dan menyeluruh. Hanya aqidah yang kukuh sahaja dapat membentuk manusia yang kukuh dan teguh. Kekukuhan dan keteguhan aqidah inilah yang menjadi sumber kekuatan Islam. Inilah hakikah kekuatan umat Islam; kekuatan jiwa dan rohani serta peribadinya menjadi asas kekuatan jasmaninya.



CIRI-CIRI AQIDAH

 Aqidah Islam mengandungi ciri-ciri atau rukun-rukun asas. Ciri-ciri tersebut dapat disimpulkan kepada tiga:


1.     Ma’rifatullah (mengenali Allah)
  Mengenali dan mengetahui serta beriman dengan Allah subhaanahu wa taaala, nama-namaNya yang mulia serta sifat-sifatnya yang suci dari segala kekurangan. Antara cara untuk kita meningkatkan keimanan terhadap Allah ialah dengan memerhatikan bukti-bukti yang ada di alam ini.

2.     Ma’rifatur Risaalah(mengenali kerasulan)
Mengenali dan mempercayai rasul-rasul yang dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu dan menyampaikan syariatnya serta menjadi pembimbing dan memimpin seluruh makhluk menuju kepada jalan yang haq dan agama Allah yang sebenar, iaitu agama Islam.

3.     Ma’rifatul Batsi (mengenali hari kebangkitan)
Mengetahui dan mempercayai tentang hari kebangkitan iaitu hari di mana manusia dibangunkan dari kubur masing-masing (dihidupkan sesudah mati), dikumpulkan dan dihisab segala amalan sama ada yang baik atau yang buruk untuk diberikan balasan pahala atau seksaan dan di sana juga adanya sir’athol Mustaqim, syurga dan neraka.

No comments:

Post a Comment